GUA MUSANG 8 Jan. – Seekor ular sawa seberat 25 kilogram (kg) berjaya ditangkap oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah setelah reptilia tersebut tersangkut dalam jaring di sebuah reban ayam di Kampung Baru Star di sini semalam.

Menurut seorang penduduk, Rohani Zainal Abidin, 24, ular itu juga dipercayai menelan beberapa ekor ayam kampung milik jirannya yang berada dalam reban berdekatan kawasan rumahnya sebelum ini.
Katanya, kira-kira pukul 8 pagi ini dia didatangi jiran yang memaklumkan ada ular tersangkut di kawasan reban.
“Saya ke tempat kejadian dan melihat ular sawa besar itu sudah kekenyangan dipercayai baharu selesai membaham ayam.
“Saya terus menghubungi APM untuk mendapatkan bantuan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Rohani berkata, ular sawa itu juga dipercayai menelan tiga ekor angsa milik jiran yang sama, kelmarin.
Sementara itu, Pegawai APM daerah, Mohd. Yussalmi Mohd. Yusoff memaklumkan, pihaknya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan mengenai kejadian itu.
Katanya, ular sawa itu tidak agresif kerana kekenyangan dan tersangkut pada pagar reban.
“Dengan kemahiran yang ada, anggota kami berjaya menangkap ular berkenaan tanpa mencederakannya.
“Haiwan ini akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut,” katanya.










