PULAU PINANG 9 Jan. – Berlandaskan iltizam untuk menjadikan masjid sebagai nadi ummah, kumpulan sukarelawan Rakan Masjid Jamek Teluk Bahang kini semakin mengorak langkah apabila mampu menarik perhatian lebih ramai golongan muda mendekati masjid.
Bermula dengan hanya enam sukarelawan pada 2016, kumpulan sukarelawan Rakan Masjid Jamek Teluk Bahang kini mencapai keahlian seramai 70 orang yang rata-ratanya terdiri daripada golongan muda kariah Teluk Bahang.
Penasihat Rakan Masjid Jamek Teluk Bahang, Safirol Iman Pisal berkata, idea untuk menubuhkan kumpulan sukarelawan masjid itu bermula apabila dia kembali untuk berkhidmat di Teluk Bahang sebagai Penghulu pada 2016.
Menurutnya, pada masa itu, dia mencari satu platform yang sesuai untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan di samping memakmurkan masjid dengan penglibatan semua pihak termasuk golongan muda.
“Sebelum penubuhan kumpulan ini, kita ada kumpulan Pemuda Kariah Masjid Teluk Bahang tetapi lebih tertumpu kepada remaja lelaki, namun Rakan Masjid Jamek Teluk Bahang ini lebih membuka ruang kepada semua lapisan umur dan jantina.
“Jadi kita mentransformasikan kumpulan ini menjadi Rakan Masjid Jamek Teluk Bahang yang mana pelbagai aktiviti masyarakat diatur,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Safirol Iman berkata, pelbagai aktiviti antaranya pendidikan percuma di masjid, sukan, kebajikan malah ekspo pekerjaan turut dianjurkan di masjid berkenaan menjadi pendorong golongan muda tidak lagi keberatan untuk mendekati masjid.
Katanya, program itu juga dapat mengubah persepsi yang mana masjid hanya lokasi untuk beribadah semata-mata kerana masjid seharusnya dijadikan platform untuk semua aktiviti melibatkan masyarakat.
“Kepakaran anak muda yang ada dalam kumpulan ini digunakan sebaiknya untuk faedah masyarakat dan masjid, contohnya mereka yang mahir bidang teknikal akan membantu membaiki kerosakan masjid dengan kos paling minimum dan terkadang secara percuma.
“Pada masa depan, kita mahu kumpulan sukarelawan ini menjadi pengorak langkah dalam kegiatan sukarelawan di peringkat nasional yang menyumbang bukan sahaja idea tetapi kepakaran, tenaga dan wang ringgit,” katanya.
Dalam pada itu, seorang sukarelawan, Putri Nur Atiqah Mohd. Amir, 20, berkata, dia baharu sahaja menyertai kumpulan tersebut tahun lalu dan gembira kerana dapat menyalurkan bakti kepada mereka yang memerlukan.
“Apabila menyertai kumpulan ini, baharu saya tahu masjid tidak hanya terhad kepada golongan berusia semata-mata.
“Di sini, tenaga muda dapat disalurkan ke arah kebaikan dan saya harap lebih ramai anak muda dapat menyertai kumpulan ini,” katanya.










