KUALA LUMPUR 23 Jan. – Susulan troll bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggelarkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai ‘Menteri Hal Ehwal Najib’, hari ini muncul pula akaun khas dalam laman media sosial Twitter mengenai lkementerian’ berkenaan.
Hasil carian dalam laman media sosial itu mendapati akaun ‘kementerian’ berkenaan telah didaftarkan sejak semalam dengan menggunakan nama ‘Kementerian Hal Ehwal Najib’ dan menteri yang dipertanggungjawabkan ialah Kit Siang.
Sehingga hari ini, akaun Twitter tersebut mempunyai 38 ciapan dan 260 pengikut.
Akaun tersebut dibuat sehari selepas kenyataan Najib menerusi hantaran dalam akaun Facebook miliknya yang secara sinis menyindir Kit Siang dengan mencadangkan bahawa beliau patut melantik dirinya sebagai ‘Menteri Hal Ehwal Najib’.
Najib membuat kenyataan tersebut sebagai tindak balas kepada kenyataan yang dikeluarkan Kit Siang mengenai dirinya.
“Setiap hari, Kit Siang akan mengeluarkan sekurang-kurangnya satu kenyataan untuk menyerang saya.
“Nampaknya, ‘uncle’ ini masih tidak dapat mengawal obsesi dia terhadap saya. Saya rasa ianya lebih baik jika Kit Siang terus minta untuk dilantik sebagai ‘Menteri Hal Ehwal Najib’. Bolehlah dapat kereta rasmi, gaji dan elaun menteri,” katanya.
Najib membuat komen itu berikutan kenyataan media terbaharu Kit Siang yang menyeru peneroka muda Felda untuk mencontohi Chef Wan yang bertindak mahu menampar Najib semasa hadir berkempen untuk Pakatan Harapan (PH) di Felda Sungai Koyan 1 di Jelai, Ahad lalu. – UTUSAN ONLINE










