PUTRAJAYA 25 Jan. – Kementerian Luar hari ini mengesahkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan mengalami kecederaan atau terkesan secara langsung akibat kejadian gempa bumi di Cagayan, Filipina, semalam.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, kementerian turut menasihati rakyat Malaysia untuk menangguhkan sebarang perjalanan yang tidak berkepentingan ke kawasan tersebut dan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa tempatan.
“Rakyat Malaysia yang melawat atau tinggal di kawasan tersebut dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa serta laporan cuaca tempatan.
“Mereka yang memerlukan bantuan konsular dinasihatkan untuk menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Manila atau Konsulat Jeneral Malaysia di Davao, Mindanao,” katanya.
Semalam, satu gempa bumi dengan kekuatan 5.5 pada skala Richter dilaporkan melanda kawasan Calayan, di Cagayan, Filipina.
Dalam pada itu, Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Manila dan Konsulat Jeneral Malaysia di Davao, Mindanao akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai situasi semasa.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular dinasihatkan menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Manila menerusi Tel: +63 2 662 8200 atau +63 917 864 0761 (selepas waktu bekerja) atau melalui e-mel: [email protected].
Konsulat Jeneral Malaysia di Davao, Mindanao pula boleh dihubungi melalui Tel: +63 82 221 4050 atau +63 936 9684001 atau e-mel: [email protected]. – UTUSAN ONLINE











