Tiada hak jatuhkan Syed Saddiq - Armada - Utusan Malaysia

Tiada hak jatuhkan Syed Saddiq – Armada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Jan. – Tindakan beberapa ketua bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mahu menyingkirkan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman disifatkan sebagai angan-angan Mat Jenin sahaja.

Ketua-ketua bahagian yang berang dengan isu pemberian kontrak dan jawatan dibangkitkan Syed Saddiq itu juga sewajarnya berpijak di bumi nyata kerana tidak mempunyai sebarang hak menjatuhkan Ahli Parlimen Muar itu. 


Ketegasan itu disuarakan Exco Armada, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir yang berpandangan beberapa ketua bahagian itu mungkin terperangkap dengan pemikiran sewaktu era pentadbiran terdahulu. 


Malah, ketika ditanya sama ada ketua-ketua bahagian mampu memecahbelahkan Armada dengan ‘membeli’ kepemimpinan sayap pemuda itu untuk menyingkirkan Syed Saddiq, Mohd. Ashraf Mustaqim menolak mentah-mentah berlakunya usaha tersebut. 


“Setiap ketua bahagian yang terlibat dengan gerakan ini perlu tahu bahawa mereka tiada hak untuk menjatuhkan Syed Saddiq. Ini semua ibarat angan-angan Mat Jenin sahaja. Mereka (ketua bahagian) perlu ukur baju di badan sendiri. 


“Saya yakin setiap ahli Armada berdiri teguh di belakang Syed Saddiq. Tak mungkin terjadi usaha ‘membeli’ ahli Armada kerana ketua-ketua bahagian ini pun bukan ada duit. Mereka sendiri pun tidak tahu menjaga Armada,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. 


Beliau mengulas mengenai kenyataan Syed Saddiq yang tidak akan tunduk kepada tekanan beberapa ketua bahagian yang mahu menyingkirkannya rentetan daripada kenyataannya menentang isu berhubung pemberian kontrak kerajaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN