KUALA TERENGGANU 3 Jan. – Keadaan angin kencang dan laut bergelora yang melanda Terengganu ketika ini bukan akibat dibadai ribut tropika Pabuk, sebaliknya cuma tempias daripada fenomena cuaca tersebut.
Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya meminta masyarakat agar tidak menularkan apa-apa maklumat mahu pun gambar atau video mengelirukan yang boleh menakutkan-nakutkan orang ramai dan seeloknya menghubungi Bilik Gerakan Bencana Negeri Terengganu di talian 09-6236644 dan 09-6236655 untuk penjelasan lanjut.

Dalam perkembangan sama, katanya, cerapan yang dilakukan Jabatan Meteorologi di pejabat di Kuala Terengganu pada pukul 12.30 tengah hari tadi mendapati kelajuan angin meningkat kepada 50 kilometer sejam
“Di daerah lain keadaan angin masih biasa, kita berdoa tidak akan berlaku ribut di Terengganu dan negeri jiran yang terkena tempias Pabuk yang dijangka berterusan hingga esok.
“Ribut tropika Pabuk turut membawa hujan sederhana dan kadang kala lebat di sebahagian besar negeri ini bagaimanapun, berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) semua sungai di Terengganu masih berada di paras normal dengan tiada sebarang peningkatan dicatatkan,” katanya dalam sidang akhbar khas di Bilik Gerakan Bencana Negeri Terengganu di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Left. Kol. (PA) Che Adam Abd. Rahman dan Pengarah Meteorologi negeri, Rosli Zakaria @ Che Kob.
Justeru, A. Rahman menasihatkan rakyat negeri ini dan pengunjung agar mengelak sebarang aktiviti di laut, pantai, sungai dan parit bagi mengelak kejadian tidak diingini susulan keadaan angin kencang dan laut bergelora itu.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya belum menerima apa-apa laporan mengenai kerosakan rumah penduduk akibat kejadian itu dan masih menunggu makluman daripada pejabat daerah.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri akan menyediakan bantuan khas bagi membaiki rumah mangsa yang terjejas namun, peruntukannya bergantung kepada kerosakan yang dialami. -UTUSAN ONLINE










