Tayar celup: 10,000 nahas setahun - Utusan Malaysia

Tayar celup: 10,000 nahas setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 4 Jan. – Kemalangan melibatkan penggunaan tayar celup di negara ini disifatkan pada tahap membimbangkan selepas lebih 10,000 kes dicatatkan berlaku setiap tahun.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, angka itu adalah sesuatu yang mengejutkan kerana secara puratanya, sebanyak 30 kes kemalangan membabitkan penggunaan tayar celup berlaku setiap hari.

Selain itu, tambah beliau, kemalangan membabitkan kenderaan dengan lebih muatan khususnya lori turut menyumbang kepada punca kemalangan di negara ini.

BARU BIAN
BARU BIAN 

“Kita perlu mengambil perhatian serius berhubung statistik ini dan ia juga berbalik kepada isu penguatkuasaan pihak berwajib.

“Kenderaan dengan lebih muatan tidak sepatutnya berada di jalan raya, begitu juga dengan kenderaan yang menggunakan tayar celup,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Wilayah Utara Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pe­ngarah LLM, Datuk Aziz Abdullah.

Dalam lawatan itu, beliau turut diberi taklimat operasi dan me­ninjau keadaan trafik di Jamba­tan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Menurut Baru, pihaknya akan mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memastikan penguatkuasaan dapat dilaksanakan sekali gus mengurangkan kadar kemalangan di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×