Sebut sahaja tahi bintang, semestinya ramai individu yang teruja untuk menyaksikan fenomena angkasa itu dengan mata kepala sendiri.
Tidak dinafikan, tahi bintang yang jatuh ke bumi dari kejauhan merupakan antara fenomena alam semula jadi yang mengasyikkan dan tidak seharusnya dilepaskan.
Maka tidak hairanlah, hujan meteor Persied yang berlaku antara bulan Julai hingga Ogos setiap tahun di seluruh dunia amat dinantikan oleh sekalian peminat astronomi.
Begitupun, mereka yang ingin menyaksikan fenomena tahi bintang itu memerlukan kesabaran selain perlu menunggu waktu yang tepat. Hal ini kerana fenomena tersebut berlaku dalam sesi yang amat singkat sekali gus masyarakat mudah ketinggalan untuk menyaksikannya.
Namun kini mungkin berubah apabila sebuah firma angkasa Jepun, Astro Live Experience (ALE) telah membangunkan teknologi menghasilkan tahi bintang buatan manusia.
Perkhidmatan yang dinamakan Sky Canvas itu bakal memberikan pengalaman menyaksikan tahi bintang yang lebih terang dan tempoh yang lebih panjang pada satu-satu sesi berbanding fenomena yang berlaku secara semula jadi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ALE Co., Lena Okajima, projek itu telah difikirkannya sejak menuntut di University Tokyo dalam subjek astronomi hampir dua dekad lalu.
“Konsep itu mula muncul dalam fikiran saya ketika menyaksikan fenomena pancuran tahi bintang Leonid pada tahun 2001.
“Teruja melihat fenomena itu, saya terus mendapat ilham untuk memiliki perusahaan sendiri dengan menghasilkan tahi bintang buatan pada suatu hari nanti.
“Tahi bintang yang dihasilkan itu boleh mengikut permintaan peminat astronomi termasuk warna terang dalam tempoh yang lebih panjang berbanding fenomena tersebut yang berlaku secara semula jadi,” katanya kepada Japan Times baru-baru ini.
Okajima berjaya menubuhkan syarikatnya itu pada tahun 2011.
Baru-baru ini, pihak ALE telah melancarkan satelit ujian untuk sistem Sky Canvas mereka menggunakan roket Epsilon #4 milik Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA) di Kimotsuki, Jepun.
Bebola metalik
Sekiranya ujian itu berjaya, perkhidmatan Sky Canvas akan mula beroperasi seawal tahun depan dan kemungkinan besar akan mewarnai pertunjukan semasa acara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti.
Biarpun model perniagaan ALE tampak mudah namun, ia memerlukan ketepatan dan persediaan yang amat rapi bagi menjayakan misi tersebut.
Secara asasnya, ALE melancarkan satelit mini dilengkapi peranti khas membolehkan bebola metalik berdiameter sebesar satu sentimeter dilepaskan ke atmosfera Bumi yang akhirnya dilihat sebagai tahi bintang.
Sebuah satelit mampu membawa kira-kira 400 pelet dengan melepaskan antara lima hingga 20 butir bebola untuk satu-satu acara pertunjukan tahi bintang Sky Canvas.
“Posisi satelit, termasuk kelajuan dan sudut titik perlepasan bebolanya perlu dilaksanakan dengan ketepatan esktrem bagi membolehkan fenomena itu dilihat pada destinasi yang tepat.
“Sekiranya berlaku sedikit kesilapan kecil, ia pasti akan mengundang kegagalan,” tegas ibu kepada dua anak itu.
Sebagai contoh, bagi menghasilkan pancuran meteor di sekitar Jepun, bebola metalik perlu dilepaskan dari jarak sekitar Australia.
Ia kemudian akan bergerak sejauh 7,000 kilometer (km) dalam masa 15 minit sebelum terbakar untuk beberapa saat ekoran pemancaran plasma pada altitud 60km ke 80km.
Tahi bintang ALE boleh dilihat di angkasa sehingga lebih 10 saat yang mana tempoh itu lebih lama berbanding tahi bintang semula jadi.
Ia akan jatuh pada kelajuan 8km sesaat, lebih perlahan berbanding meteor semula jadi yang kebiasaannya selaju 72km sesaat yang membolehkan penonton menikmati fenomena tersebut lebih lama.
Menariknya, tidak seperti tahi bintang semula jadi, meteor ALE mampu menyala dalam pelbagai warna sekali gus memberikan keupayaan seakan-akan mewarnai langit. Setakat ini, ALE telah berjaya membangunkan bebola yang mampu bersinar dalam warna hijau, biru dan oren.
Secara teorinya ALE berkeupayaan untuk menghasilkan tahi bintang di seluruh destinasi.
Individu yang berminat perlu membuat tempahan menerusi sistem online dengan memberikan butiran perincian seperti masa dan slot lokasi untuk sesuatu acara.
Pengarah Strategi Global ALE, Rie Yamamoto berkata, Sky Canvas yang mempertaruhkan perkhidmatan pancuran meteor artifisial itu mempunyai potensi yang cukup besar.
Ia bukan sahaja sekadar hiburan semata-mata malah mampu menarik pelabur berpotensi antaranya operator acara sukan, taman tema, festival keraian dan pelbagai lagi acara berskala besar.
“Bayangkan suatu hari nanti, meteor digunakan secara meluas bagi menggantikan pertunjukan bunga api peringkat antarabangsa, lamaran perkahwinan mahupun tarikh peristiwa memorial penting, ini pastinya suatu pencapaian yang memberangsangkan,” ujarnya.










