KUALA LUMPUR 22 Jan. – Atlet karate wanita negara, Syakilla Salni Jefry Krisnan mendapat layanan istimewa Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) dalam usaha memburu tiket Sukan Olimpik 2020 apabila akan ditempatkan di sebuah kelab di Amsterdam, Belanda.
Atlet berusia 27 tahun itu yang meresahkan Makaf kerana tidak hadir dalam sesi latihan baru-baru ini akan berlepas ke sana seawal bulan depan untuk berlatih bersama rakan kongsi MSN-Makaf yang pernah membantu skuad negara dalam persediaan ke Sukan SEA 2017.
“Kita kena bergerak agresif dan terokai pendekatan baharu atau luar biasa dalam merebut kelayakan Olimpik. Inilah kali pertama atlet karate berlatih di luar negara khususnya Eropah.
“Kita pilih Belanda kerana terdapat peningkatan kejayaan atlet Eropah pada peringkat antarabangsa ketika ini.
“Di Amsterdam terdapat pasukan yang turut menjalani persediaan ke Olimpik,” kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dalam mesyuarat khas program karate ke Kelayakan Oimpik 2020 di MSN, Bukit Jalil di sini hari ini.










