ALOR SETAR – Hajat seorang suri rumah untuk mengadakan majlis tahlil untuk arwah bapanya yang meninggal dunia akibat sakit tua pada Rabu lalu tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Jalan Sungai Tiang-Lahar Buaya, Pendang dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa, Rosna Hassan, 60, maut di tempat kejadian akibat cedera parah pada kepala selepas motosikal jenis Honda C100 ditungganginya bertembung dengan sebuah lori.
Kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Teluk Wang, Charok Kudong, Pendang selepas membeli laksa di Pekan Pendang untuk dijadikan juadah pada majlis tersebut.
Anak saudaranya, Abdul Hadi Che Awang, 23, berkata, ibu saudaranya itu keluar ke Pekan Pendang untuk membeli laksa sebelum terlibat kemalangan dalam perjalanan pulang kira-kira 4 kilometer dari rumahnya.
“Hajat ibu saudara saya untuk menyajikan laksa untuk tetamu pada majlis tahlil arwah bapanya, Hassan Ahmad, 88, yang diadakan bersekali dengan majlis khatam al-Quran petang ini nampaknya tidak kesampaian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, mangsa maut di tempat kejadian selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah lori jenis Daihatsu yang kemudian terbabas masuk ke kawasan sawah.
“Mangsa yang mengalami kecederaan parah pada kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk dibedah siasat,” katanya.- K! ONLINE










