SPR teliti dakwaan kesalahan PH, Manogaran - Utusan Malaysia

SPR teliti dakwaan kesalahan PH, Manogaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 27 Jan. – Semua kesalahan yang didakwa dilakukan oleh calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands akan diteliti oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, beliau telah mengarahkan pihak sekretariat dan perundangan suruhanjaya itu membuat penelitian berkenaan.

“Saya telah arahkan pihak sekretariat dan perundangan SPR meneliti semua kesalahan yang maklumatnya ada pada SPR dan mengambil tindakan sepatutnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan beberapa kesalahan melibatkan pilihan raya yang didakwa dilakukan oleh pihak Manogaran dan PH.

Kesalahan itu seperti pemakaian baju berlogo parti ketika masuk ke pekarangan pusat mengundi, dakwaan politik wang, penggunaan jentera kerajaan untuk berkempen serta pengagihan hamper kepada pengundi Orang Asli.

Ditanya bilakah orang ramai dapat mengetahui hasil daripada penelitian terbabit, Azhar memberitahu, pihak SPR akan berusaha agar hasil penelitian itu dimaklumkan kepada umum secepat mungkin.

“Beri pihak sekretariat sedikit masa. Kita juga mesti menguruskan PRK Semenyih. (Tetapi) Secepat mungkin akan kita usahakan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×