KUALA LUMPUR 23 Jan. – Majlis Raja-Raja akan bermesyuarat esok untuk memutuskan siapakah bakal menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun akan datang.
Mesyuarat yang dijadual berlangsung di Istana Negara pada 10.30 pagi itu diadakan berikutan peletakan jawatan Sultan Muhammad V dari Kelantan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 pada 6 Januari lalu.
Mengikut sistem penggiliran, dalam kalangan sembilan raja-raja Melayu, masih tinggal tiga raja Melayu iaitu dari Pahang, Johor dan Perak untuk melengkapkan senarai kedua giliran menjadi Yang di-Pertuan Agong.
Penggiliran kali pertama pelantikan Yang di-Pertuan Agong adalah mengikut kekananan dari segi tempoh pemerintahan yang dimulakan dengan Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.

Ia terus dijadikan panduan penggiliran kedua dan mengikut perkembangan, dijangka Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Pada mulanya Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atau Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dikatakan bakal dipilih memandangkan Sultan Pahang gering.
Namun apabila Sultan Ahmad Shah menyerahkan takhta kepada anakanda baginda sebagai Sultan Pahang, maka raja dari negeri itu akan dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Berkaitan proses pemilihan, menurut Seksyen 2, Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja hendaklah menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada raja yang layak dipilih, yang negerinya ialah yang pertama dalam senarai pemilihan, iaitu dalam kes kali ini adalah Pahang.
Perlembagaan memperuntukkan seorang raja layak dipilih kecuali belum dewasa atau memberitahu Penyimpan Mohor Besar bahawa baginda tidak berhasrat dipilih selain tidak ditolak Majlis Raja-Raja.
Menurut laman web rasmi Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, semasa pemilihan, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja membekalkan satu kertas undi setiap raja dan setiap raja diminta menandakan pendapatnya sama ada raja yang paling kanan (satu nama sahaja) adalah sesuai atau tidak sesuai dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Pemilihan dibuat secara undi sulit dan kertas undi yang digunakan tidak bernombor serta ditandakan dengan pen dan dakwat sama yang kemudian dimasukkan dalam peti undi.
Calon mesti mendapat majoriti lima undi sebelum raja yang mempengerusikan mesyuarat menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada baginda.
Kertas undi dimusnahkan di hadapan raja-raja sebaik sahaja keputusan undian diumumkan.
Jika raja yang berjaya tidak menerima tawaran atau raja itu gagal memperoleh undi majoriti maka proses pengundian semula akan dijalankan, iaitu dengan mencalonkan nama raja yang kedua dalam senarai kekananan yang layak dipilih untuk diundi.
Proses selesai selepas baginda menerima tawaran jawatan Yang di-Pertuan Agong. Selepas itu, majlis mengisytiharkan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong dan memegang jawatan itu bagi tempoh lima tahun.










