KUALA LUMPUR 7 Jan. – Tindakan penolong pengurus Selangor, Nazzab Hidzan memuat naik gambarnya bersama Syazwan Andik dalam laman sosial mengundang pelbagai persoalan sama ada bek kiri Harimau Malaya itu akan menyertai Red Giants atau sebaliknya.
Pengurus Selangor, Datuk Rauf Ahmad turut kelihatan dalam gambar tersebut dengan kapsyen ‘Ye Syazwan boleh kami bantu..Cantik kalau dia duk di Left Back kan..#perjuanganbelumselesai #syazwanandik.’
Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai gambar tersebut, Syazwan berkata, ia diambil selepas aksi persahabatan antara Selangor menentang Kuala Lumpur di Stadium Kuala Lumpur yang berkesudahan Red Giants menang 3-2, Sabtu lalu.
“Gambar itu diambil selepas perlawanan, saya mahu pergi makan. Kebetulan mereka berada di kedai sama jadi saya pergi berjumpa dengan mereka sekejap. Saya lepak dengan rakan saya di meja berasingan dan bukannya dengan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Ketika ditanya sama ada Rauf ataupun Nazzab ada menyatakan hasrat untuk menarik Syazwan menyertai Selangor, pemain berusia 22 tahun itu menafikannya.
“Kami berbual kosong. Kontrak saya bersama Kuala Lumpur tamat hujung musim 2019,” katanya yang dikhabarkan pernah menarik minat Red Giants.










