KUALA LUMPUR 5 Jan. – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung penahanan anak lelakinya, Ahmad Saiful Islam Mohamad yang ditahan kerana disyaki positif dadah, awal pagi tadi.
Jelas Mohamad, beliau telah dimaklumkan mengenai penahanan anaknya itu oleh pihak polis, hari ini dan mahu kes tersebut diselesaikan berdasarkan kepada proses undang-undang sedia ada.
“Saya telah dimaklumkan penahanan anak saya Ahmad Saiful Islam Mohamad oleh pihak polis hari ini. Susulan penahanan ini, saya dan keluarga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk bertindak berdasarkan proses undang-undang sedia ada.
“Anak saya sama seperti anak orang lain juga tertakluk kepada proses undang-undang negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Saiful Islam, 31, ditahan bersama-sama seorang lagi rakannya berusia 33 tahun merupakan antara 101 individu iaitu 55 wanita dan 46 lelaki yang diperiksa dalam Op Pusat Hiburan, malam tadi.
Operasi itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) dan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Dia bagaimana pun telah dibebaskan dengan jaminan polis, petang tadi. – UTUSAN ONLINE









