PERPADUAN dalam kalangan rakyat di negara ini dilihat masih rapuh dan perlu diperkukuhkan ekoran beberapa kejadian yang melibatkan isu atau perkara kecil mampu menggugat keharmonian penduduk berbilang kaum.
Walaupun pelbagai usaha diambil oleh banyak pihak, namun ketegangan dalam kalangan rakyat masih wujud dalam persekitaran masyarakat majmuk. Perkongsian dalam media sosial juga tidak kurang membangkitkan isu perkauman.
Islam sebagai sebuah agama yang lengkap dan sempurna turut mengajar umatnya agar saling membantu, mendukung, bekerjasama dan saling menjaga silaturahim agar tiada permusuhan serta dalam masa sama mengekalkan keharmonian.
Kehidupan seseorang tidak hanya tertumpu kepada material semata-mata, sebaliknya memerlukan aspek lain seperti kasih sayang, cinta dan perhatian daripada orang sekeliling.
Pendakwah kelahiran Amerika Syarikat, Dr. Abu Ammar Yasir Qadhi atau dikenali sebagai Dr. Yasir Qadhi menekankan konsep ukhuwah dalam persaudaraan Islam.
Beliau berkata, ini termasuk menyantuni seseorang yang langsung tidak dikenali agar dapat memupuk sikap tolong-menolong, saling memahami, tidak mementingkan diri sendiri serta tidak menzalimi harta mahupun kehormatan orang lain.
“Seorang sahabat Rasulullah telah pergi ke pasar untuk membeli seekor kambing pada harga 12 dinar walaupun pada asalnya ditawarkan pada harga lima dinar sahaja.
“Tindakannya itu didorong setelah mendengar sabda Baginda bermaksud: “Tidak beriman seorang daripada kamu hingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri.” – Riwayat Bukhari
“Sekiranya saya adalah empunya kuda tersebut pasti akan berasa sangat gembira apabila ada pihak yang sanggup membeli pada harga 12 dinar,” ujarnya.
Tindakan tersebut jelas menunjukkan ikatan persaudaraan yang utuh apabila seseorang menawarkan harga yang tinggi dan percaya peniaga tersebut akan gembira dengan tawaran itu.
Apabila seseorang menghidupkan ukhuwah ibarat membina sebuah ikatan keimanan yang kukuh sehingga menimbulkan perasaan kasih-sayang, hormat-menghormati yang dikurniakan Allah kepada hamba-Nya yang beriman dengan tujuan mendapatkan keredaan-Nya.
Tambah Yasir, menerusi sabda Rasulullah itu juga menunjukkan bahawa melalui ukhuwah membolehkan seseorang mencapai keimanan yang sempurna.
Ini bermakna, dengan menyayangi saudara seperti menyayangi diri sendiri akan menyempurnakan iman seseorang.
“Inilah satu rahmat daripada ikatan ukhuwah dan tanpanya iman masih tidak sempurna.
“Iman seseorang akan berterusan lemah sehingga mereka mula menyayangi saudara seperti menyayangi diri sendiri, sehingga mereka mahu melihat (saudara) mencapai kebaikan sebagaimana dirinya mahu mencapai kebaikan dan sehingga anda mahu mereka jauh daripada kejahatan sepertimana anda mahu mengelak kejahatan untuk diri sendiri,” jelasnya.
Di sini jelas ikatan ukhuwah atau silaturahim membawa hikmah yang besar serta manfaat positif dalam kehidupan seseorang jika dilakukan secara konsisten sekali gus memupuk kehidupan masyarakat yang harmoni.











