Sedarlah, ‘bateri’ umur makin pendek - Utusan Malaysia

Sedarlah, ‘bateri’ umur makin pendek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJELANG petang, bateri telefon yang penuh terisi pada awal pagi pasti semakin berkurangan kapasiti kuasanya. Begitu juga umur manusia. Setiap detik saat berlalu memendekkan jangka hayat ‘bateri’ umur.

Setiap kali tahun baharu menjengah, manusia biasanya akan berbicara tentang azam lama yang belum terlaksana atau apa azam mereka pada tahun baharu. Jarang sekali diberi peringatan tentang jangka hayat umur mereka semakin pendek. Cukuplah ayat dari surah Yasin yang sinonim dengan orang Melayu ini menjadi tazkirah kita setiap kali menjengah tahun baru:

Ertinya: “Dan (hendaklah diingati bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?” (Yasin [36:68]).

Dalam ayat lain, Allah menunjukkan ‘graf bateri umur’ manusia yang semakin menurun agar mereka sentiasa sedar dan tidak hanyut dilambung angan:

Firman Allah ertinya: “Allah yang mencipta kamu bermula dengan keadaan lemah (ketika bayi dan kanak-kanak), selepas lemah itu Dia jadikan kamu kuat (ketika usia remaja dan dewasa). Setelah itu Dia jadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Dia cipta apa yang dikehendaki-Nya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.” (al-Rum 30:54).

Apabila kuasa ‘bateri’ umur semakin berkurangan, manusia tidak seharusnya terus khayal dalam angan tak sudah. Sebaliknya mereka wajib berfikir apa yang mahu dibawa ke negeri barzakh dan negeri akhirat.

‘Mata wang’ kedua alam ini bukan mata wang yang dikejar manusia di dunia. Jangan sampai ditimpa ‘musibah orang tua tidak sedar diri’ yang disebut doktor rohani junjungan kita sebagaimana sabda Rasulullah bermaksud: “Anak Adam semakin tua, tetapi dua perkara padanya bertambah muda: Kehendak pada harta dan kehendak untuk umur panjang,” – Sahih Muslim & Sunan al-Tirmizi


MASA PUTIHKAN HATI

Ketika membimbing umatnya menempuh hari mendatang, Rasulullah mahu orang berusia agar sentiasa sedar diri dengan meletakkan batas angan pada umatnya dalam sebuah hadis lain ertinya: “Allah tidak lagi memberi peluang (tambahan umur) kepada orang yang sudah dilanjutkan usia sehingga mencecah 60 tahun,” – Sahih Bukhari

Hadis ini menunjukkan umur lazim umat Nabi Muhammad SAW adalah 60 tahun. Sepatutnya ketika menghampiri angka tersebut, manusia berusia perlu bersungguh memutihkan hati seiring dengan putihnya rambut di kepala. Mereka perlu melemahkan nafsu serakah seiring dengan lemahnya tubuh dimakan usia.

Ada pula orang yang takut tua, lalu mula mencari pelbagai produk ajaib yang mampu memperlahankan masa daripada memamah jasad. Ketakutan kepada fitrah tua ini kemudiannya menjadi ruang perniagaan kepada banyak pengusaha produk yang cuba menafikan ketuaan.

Akibatnya penjual produk sanggup menipu dengan produknya yang menjanjikan bulan bintang manakala orang tua pula mudah tertipu kerana tidak dapat menerima hakikat ‘bateri’ umurnya semakin pendek.

Tidak mengapa jika maksud produk itu untuk mengekalkan jasad agar sihat dalam fitrah untuk memudahkan pacuan ibadat, cuma masalahnya sesetengah produk menjadikan angan orang tua semakin panjang sehingga mereka lupa rumah bernisan dua semakin hari semakin hampir.

Tua adalah hakikat hidup yang wajib dihadapi manusia. Usahkan kita yang tidak seberapa nilainya di sisi Allah, para nabi turut dijamah tua seperti kisah Nabi Ibrahim a.s. (rujuk Surah Ibrahim 14:39) dan kisah Nabi Yaaqub a.s. (Maryam [19:4]). 


TINGGALKAN ANGAN-ANGAN

Semakin usia meningkat, tinggalkan angan panjang tidak berkesudahan ke belakang dan cubalah sedaya mampu menjadi manusia soleh. Besar sekali darjat orang berusia yang soleh sehingga dipuji nabi:

Ertinya: “Sesungguhnya antara cara mengagungkan Allah adalah dengan memuliakan orang tua Muslim dan penghafaz al-Quran yang tidak berlebih pada (membacanya hanya untuk tajwid tanpa beramal atau tadabbur maknanya) dan tidak meninggalkan bacaannya (kerana sibuk membaca tafsir). Juga memuliakan pemimpin yang adil,” – Sunan Abu Daud.

Jadilah orang tua soleh bukan ‘si tua tidak sedar diri’ sebagaimana disebut dalam sebuah hadis nabi yang lain ertinya: “Seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah! Siapakah sebaik-baik manusia?” Baginda menjawab: “Orang yang panjang usianya dan baik amalannya.” Lelaki tadi melanjutkan soalan: “Siapa pula yang manusia yang paling buruk?” Baginda menyambung: “Orang yang panjang umurnya tapi buruk amalannya.” – Sunan Tirmizi

Jangan pula orang muda yang membaca rencana ini mendabik dada seraya berkata: “Saya masih muda belia, ‘bateri’ umur saya masih panjang. Biarlah hanya orang tua yang jangka hayat ‘bateri’ umurnya insaf.”

Cakap sebegini sangat berbisa. Ia mampu meracun minda orang muda yang mungkin membesar suatu hari kelak menjadi orang tua tidak sedar diri.

Ingat! Syarat untuk mati bukan hanya tua berusia. Berapa banyak buah muda gugur mencium bumi kerana pukulan ribut atau terjahan sang tupai. Ada sahaja orang muda yang dijemput pulang kerana kemalangan yang menimpa atau sakit menyinggah.

Mati adalah rahsia Allah dan kita tidak mungkin tahu berapa lama jangka hayat ‘bateri’ umur kita. Oleh itu, bersiaplah segera kerana boleh jadi kapasiti ‘bateri’ umur kita akan habis bila-bila masa sebelum tahun hadapan menjelma.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN