KOTA BHARU 13 Jan. – Timbalan Pengarah (Pengurusan Latihan) Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Bharu, Mohamad Hazmi Noordin mengakui beliau merupakan lelaki dalam video yang tular dalam media sosial semalam.
Perindustrian (ILP) Kota Bharu, Mohamad Hazmi Noordin mengakui beliau merupakan lelaki dalam video yang tular dalam media sosial semalam.
Mohamad Hazmi berkata, beliau memohon maaf kepada semua pihak atas insiden tersebut yang menurutnya berlaku di luar kawalan.
Jelasnya, beliau sendiri turut membuat laporan polis mengenai insiden itu yang kini masih dalam siasatan.
“Saya telah disoal siasat dari pukul 6.30 petang hingga pukul 10.00 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu semalam.
“Saya tidak terlibat secara langsung dengan jawatankuasa minggu suaikenal sesi Januari 2019 tetapi saya pegawai yang dipertanggungjawab dengan urusan keselamatan ILP, saya hanya mahu program berjalan lancar.
“Bukan niat saya merosakkan harta benda pelajar, semuanya berlaku di luar kawalan. Saya memohon maaf kepada semua termasuk ibu bapa pelajar yang melapor diri semalam,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.
Sejak semalam video aksi seorang lelaki yang dikatakan merupakan Timbalan Pengarah ILP berkenaan dalam keadaan marah-marah dan menendang beberapa buah motosikal di kawasan surau institut itu tular di media sosial.
Mohamad Hazmi yang mula bertugas sebagai Timbalan Pengarah ILP Kota Bharu pada 2012 berkata, beliau akur dengan arahan supaya bercuti sehingga Khamis ini serta nasihat supaya menjalani pemeriksaan kesihatan mental di hospital.
Beliau yang mempunyai kelulusan sarjana dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah memulakan kerjayanya sebagai pengajar di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) pada November 1999.
“Saya menganggap ini sebagai ujian dan peluang memuhasabah diri, saya amat berharap peluang menabur bakti dalam bidang kemahiran dapat saya teruskan,” katanya. UTUSAN ONLINE










