LONDON 3 Jan. – Ole Gunnar Solskjaer mengakui dia enggan meninggalkan Manchester United pada musim panas ini.
Kemenangan di Newcastle United bermakna Solskjaer meneruskan permulaan dengan kemenangan 100 peratus selaku pengurus sementara dan dia mencabar anak-anak buahnya untuk terus mempamerkan persembahan konsisten dengan ujian lebih getir menanti mereka.
Dia juga menjadi pengurus United pertama memenangi empat perlawanan pembukaan sejak Matt Busby berbuat demikian, 73 tahun lalu.
Tottenham menanti mereka selepas pertembungan Piala FA menentang Reading, dengan United kini hanya enam mata keciciran daripada slot Liga Juara-Juara.
“Saya tidak mahu pergi, sudah tentu saya keberatan berbuat demikian. Kami di sini memiliki ramai pemain hebat dengan suasana yang luar biasa, tetapi perlawanan berikut menanti kami.
“Saya akan terus melaksanakan tanggungjawab saya di sini. Jika anda menang empat perlawanan, maka anda juga boleh meraih kejayaan dalam empat lagi pertemuan bersama kelab ini. Itulah cabaran dengan standard yang kami tahu. Cabaran yang biasa hadir daripada bos sebelum ini (Alex Ferguson),” kata Solskjaer.
Romelu Lukaku meledakkan gol pembukaan selepas dibawa masuk dari bangku simpanan dan mendedahkan, Solskjaer telahpun menggilap kembali bakat yang dimiliki penyerang United itu sewaktu sesi latihan di Carrington.
Marcus Rashford, yang membantu jaringan Lukaku hasil sepakan percumanya, sebelum dia sendiri menyumbang gol kedua United, turut menerima manfaat selepas kehadiran pengendali sementara itu dan Solskjaer memuji bintang muda berusia 21 tahun tersebut.
“Dia tenang, beraksi tersusun dan begitu bersahaja menewaskan penjaga gol lawan. Tetapi sepakan percumanya, yang pertama sewaktu menentang Cardiff, dan kemudian dia melakukannya sekali lagi, ternyata ia satu usaha mengagumkan. Dia sering menonton Cristiano Ronaldo dan kemudian mempraktikkannya semasa latihan,” ujarnya. –AGENSI










