ISKANDAR PUTERI 13 Jan. – Rumah Mampu Biaya (RMB) kelas D berharga RM250,000 hingga RM300,000 akan diperkenalkan kepada golongan sederhana (M40) di negeri ini yang berpendapatan isi rumah antara RM8,000 hingga RM10,000 bermula tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dzulkefly Ahmad berkata, kewujudan kategori itu adalah usaha membantu rakyat Johor terutama M40 mempunyai kediaman sendiri.
Jelas beliau, projek tersebut sudah diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) dan pembinaan rumah berkenaan akan mengikut Zon di tanah seluas 1,400 kaki persegi membabitkan kediaman strata dan bertanah.
“RMB D adalah kategori baharu khusus untuk M40 berpendapatan isi rumah antara RM8,000 hingga RM10,000. Rumah jenis ini kalau di Zon A iaitu Johor Bahru hingga Kulai, harga jualan adalah RM300,000.
“Namun jika di Zon B membabitkan Batu Pahat, Muar, Segamat dan Kluang harga jualan adalah RM250,000, bagaimanapun kami tidak menawarkan rumah ini di Zon C merangkumi Tangkak, Pontian, Mersing dan Kota Tinggi kerana harga yang ditawarkan mungkin sama atau lebih tinggi dari harga pasaran,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Amanat 2019 di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Majlis disertai kira-kira 400 kakitangan Bahagian Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor. – UTUSAN ONLINE










