PUTRAJAYA – Naib Presiden MIC, Datuk C. Sivarraajh hadir membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini berhubung salah laku berkaitan kes rasuah oleh calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, M. Manogaran.
Menurut Sivarraajh, SPRM perlu mengambil tindakan terhadap Manogaran mengeni isu politik wang selain turut mendakwa calon PH itu terlibat dalam kegiatan membeli undi pada PRK itu.
Jelasnya, laporan itu juga dibuat selepas mendapati Manogaran menjalankan kegiatan korupsi seperti yang tertera pada Bahagian lll dalam Akta Kesalahan Pilihanraya.
“Buktinya kita sudah tahu. Ia sudah umum dan tular di laman sosial apabila kelihatan ejennya mengagihkan wang kepada orang Asli sewaktu tempoh kempen PRK Cameron Highlands.
“Sehubungan dengan itu, saya percaya SPRM merupakan sebuah agensi yang telus, kredibiliti, berintegriti dan profesional untuk menjalan siasatan terhadap kes tersebut,” katanya pada sidang akhbar di perkarangan SPRM di sini hari ini.
Pada 30 November lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangan Sivarraajh yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) terbatal dan tidak sah ekoran berlakunya amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.
Sementara itu, menurut Sivarraajh, laporan tersebut dibuat untuk mendapatkan keadilan terhadap dirinya yang menjadi mangsa pada PRU-14 yang lalu.
Jelasnya , beliau dilucutkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Cameron Highlands selepas mahkamah memutuskan terdapat salah laku pemberian duit rokok dan duit minyak terhadap dirinya.
“Dalam kes saya, mahkamah memutuskan perbuatan itu adalah sama seperti membeli undi. Selain itu, Lim Kit Siang dalam kenyataannya juga mengaku mereka memberi duit minyak kepada 60 orang asli.
“Jadi, laporan ini juga merupakan satu keadilan buat diri saya. Disebabkan kes itu, saya dilayan seperti pengganas malah tidak dapat bertanding dan mengundi dalam tempoh lima tahun,” katanya. – K! ONLINE










