TANAH RATA – Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands perlu lebih memfokuskan kepada isu setempat demi kepentingan rakyat, kata calon Pakatan Harapan (PH) M. Manogaran.
Menurut beliau, isu tempatan seperti tebatan banjir, tanah runtuh, tanah lesen pendudukan sementara (TOL), isu pendaftaran permit pekerja asing, isu kebersihan dan pembangunan setempat akan diberi keutamaan dan bukan hanya tertumpu kepada isu nasional semata-mata.
Manogaran, 60, berkata, janji yang bakal dikotakan kepada pengundi di Parlimen Cameron Highlands itu lebih penting sekiranya beliau diberi mandat kelak.
“Selain daripada itu, isu tanah TOL pekebun-pekebun dan mereka minta saya tempoh masa TOL jangan diperbaharui tiap-tiap tahun.
“Jadi sebagai pekebun yang telah mengusahakan kebun lebih 40 tahun, saya rasa TOL sudah tidak sesuai dan kita akan ambil perhatian dan beri cadangan kepada kerajaan supaya tukar daripada TOL kepada pajakan. Ia akan melibatkan pindaan Kanun Tanah Negara dan lain-lain akta berkaitan,” katanya kepada Bernama.
Beliau ditemui selepas melakukan sesi ramah mesra bersama para pengundi di sekitar pekan Ringlet dan Lembah Bertam di sini.
Manogaran meluangkan masa kira-kira sejam bertemu pengundi di situ sebelum mengadakan pertemuan bersama komuniti Orang Asli pada sebelah petang. – Bernama










