KUALA LUMPUR 4 Jan. – Sebuah premis besi buruk di Jalan Chan Sow Lin di sini hari ini diberikan notis oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu tindakan penguatkuasaan.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Azman Mahmood berkata, tindakan diambil berikutan pemilik premis melakukan kesalahan dengan melonggokkan barang-barang perniagaan mereka di bahu jalan raya tanpa kebenaran DBKL.
“Tindakan penguatkuasaan ini mengikut Seksyen 46, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974. Sekiranya pemilik gagal mematuhi peraturan tersebut, mereka akan dikenakan kompauan sebanyak RM2,000,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Utusan Malaysia pada Rabu lalu melaporkan mengenai sikap tidak bertanggungjawab pemilik premis yang meletakkan himpunan barangan perniagaan mereka termasuk dua tong roro di bahu selekoh jalan sehingga membahayakan keselamatan pengguna.
Azman berkata, pihaknya memandang serius berhubung permasalahan itu dan akan menjalankan pemantauan secara berterusan bagi menjamin keselamatan pengguna. – UTUSAN ONLINE








