KUALA LUMPUR – Polis menahan seramai 92 individu warga China kerana terlibat dengan kegiatan perjudian online dalam satu serbuan Ops Dadu di sebuah premis pejabat di Bukit Bintang di sini kelmarin.
Serbuan tersebut dilakukan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur dengan dibantu oleh Unit IT Forensik Bukit Aman serta pagawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam serbuan yang dilakukan sekitar pukul 1.30 pagi itu kesemua yang ditahan terdiri daripada 83 lelaki dan tujuh orang wanita warganegara China termasuk dua lelaki warganegara Myanmar.
“Mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 17 hingga 49 tahun dan berperanan sebagai operator telefon bagi menguruskan operasi perjudian dipercayai menyasarkan kaki judi di China.
“Turut dirampas adalah sebanyak 212 set komputer, 20 buah komputer riba berserta 93 unit telefon bimbit yang dianggarkan bernilai kira-kira RM430,000,” katanya pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menurut Mazlan, siasatan awal yang dilakukan mendapati sindiket berkenaan mampu mengumpul sehingga kira-kira RM12 juta wang pertaruhan dalam masa sebulan.
“Modus operandi sindiket ini adalah melakukan promosi berkaitan operasi perjudian mereka melalui aplikasi Wechat dan kaki judi di China yang berminat dikehendaki memindahkan wang dengan jumlah tertentu di dalam akaun yang ditetapkan sebelum dibenarkan untuk berjudi.
“Semakan mendapati hanya tiga individu mempunyai dokumen perjalanan yang sah manakala 89 lagi yang diperiksa gagal menunjukkan sebarang dokumen diri,” katanya.
Tambah Mazlan, polis tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan individu warga tempatan dengan sindiket berkenaan bagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Kesemua yang ditahan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan selanjutnya dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Pertaruhan 1953.
“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM200,000 serta boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun,” tegas beliau. – K! ONLINE










