LANGKAWI 23 Jan. – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Langkawi merampas 18 jenis mercun bernilai RM3,000 yang ditinggalkan di sebuah pondok di Sungai Kilim di sini, awal pagi tadi.
Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Satu Langkawi, DSP Rohizan Mohamad Saaid berkata rampasan dibuat sepasukan lima anggota semasa melakukan Op Landai Bilangan 10/2019 di lokasi tersebut pada 1.29 pagi.
“Hasil maklumat awam, anggota PPM Wilayah Satu Langkawi membuat pemeriksaan di sebuah pondok kosong di tepi Sungai Kilim. Anggota kemudian menemukan tiga plastik hitam mengandungi pelbagai jenis mercun.
“Pemeriksaan lanjut dibuat anggota di sekitar kawasan tersebut, namun tidak menjumpai pemilik mercun itu. Anggota bertindak merampas dan membawa balik mercun itu ke Pejabat PPM Wilayah Satu Langkawi untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan kes berkenaan akan dibuat di bawah Akta Bahan Letupan 1957. -BERNAMA









