Polis buru dua penyamun bersenjata lepaskan tembakan di pasar mini - Utusan Malaysia

Polis buru dua penyamun bersenjata lepaskan tembakan di pasar mini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT – Polis sedang memburu dua lelaki selepas merompak dan melepaskan beberapa das tembakan di sebuah pasar mini di Sri Cheding, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu, kedua-dua suspek bertopeng dan bersenjatakan pistol turut melarikan beberapa kotak rokok dan wang tunai berjumlah hampir RM2,500.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Suprintenden Azizan Tukiman berkata, berdasarkan siasatan awal kedua-dua suspek dipercayai warga tempatan menaiki sebuah kereta Perodua Myvi berwarna biru.

Katanya, kedua-dua mereka telah meluru masuk ke premis berkenaan dan memaksa penjaga kaunter berusia 20an untuk membuka mesin wang tunai.

“Salah seorang daripada suspek yang bersenjatakan pistol telah mengugut untuk menembak sekiranya mangsa tidak membuka mesin tersebut.

“Mangsa yang ketakutan kemudiannya telah membuka mesin itu dan pada masa sama kedua-dua suspek turut mengambil beberapa kotak rokok sebelum melarikan diri,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Azizan berkata, bagaimanapun dalam kejadian tersebut penjaga kaunter berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan nilai kerugian dianggarkan berjumlah RM2,500.

Menurut beliau, siasatan polis di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan tembakan pada siling atas premis selain lapan kesan cap jari di sekitar kaunter.

“Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) seorang suspek berbadan kurus tinggi, manakala seorang lagi berbadan gempal tinggi.

“Siasatan masih diteruskan dan usaha memburu kedua-dua suspek sedang giat dijalankan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat (FIPA) 1971 kerana memiliki pistol tanpa lesen. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN