MILAN 24 Jan. – AC Milan sah menandatangani Krzysztof Piatek dari Genoa dengan kontrak perjanjian selama empat tahun setengah.
Milan dalam satu kenyataan, pemain berusia 23 tahun itu telah ditawarkan kontrak sehingga Jun 2023.
Media tempatan Itali berkata, Milan membelanjakan sebanyak 35 juta euro (RM164 juta) untuk mendapatkan Piatek yang sebelum ini dibeli oleh Genoa dengan nilai 4 juta euro (RM18 juta) dari Cracovia.
Pengumuman tersebut dibuat sebaik sahaja kontrak penyerang Gonzalo Higuain yang dipinjam dari Juventus disingkatkan selepas dia menyertai Chelsea.
Kehilangan penyerang Argentina itu menyebabkan San Siro dilanda kekecewaan, Higuain meledak lapan gol daripada 22 penampilannya.
“AC Milan dengan besar hatinya mengumumkan kemasukan Krzysztof Piatek dari Genoa,” kata kelab tersebut.
Piatek membuat penampilan sebagai pemain bola sepak profesional bersama kelab Poland, Zaglebie Lubin dan kemudiannya menyertai Cracovia pada 2016. Dia menjaringkan 32 gol dalam 65 penampilan liga bersama kelab yang berpangkalan di Krakow termasuk 21 gol pada musim lalu sekali gus muncul penyerang ketiga terbanyak di liga Poland.
Dia kemudiannya memberi impak segera kepada Genoa apabila menjaringkan setiap gol dalam tujuh aksi pertamanya di Serie A dan kini sudah meledak 13 gol, ketinggalan satu gol di belakang penjaring terbanyak iaitu, Cristiano Ronaldo, Duvan Zapata dan Fabio Quagliarella. – REUTERS










