TEMERLOH 23 JAN. – Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Pahang dengan kerjasama kerajaan negeri akan menganjurkan Sayembara Persilatan Melayu Nusantara bagi memartabatkan seni silat Melayu pada pertengahan tahun ini.
Yang Dipertuanya, Datuk Md. Sohaimi Mohamed Shah berkata, sayembara berkenaan sebagai medium bagi mengumpul perguruan silat dari negara ini, Indonesia, Thailand, Brunei dan Filipina sekali gus mempamerkan kehebatan silat.
Katanya, selain dapat mengukuhkan ukhuwah, penganjurannya juga dapat meningkatkan kehadiran pelancong asing dari semua negara Asia Tenggara menerusi konsep kesepakatan budaya serumpun.
“Sayembara ini juga sebagai usaha mempromosikan keistimewaan seni pertahanan diri Melayu yang hebat dan dikagumi dunia,” katanya selepas majlis Pelancaran Modul Silat Cekak Harimau sempena Sambutan Jubli Perak 37 tahun Pertubuhan Silat Cekak Harimau Malaysia (PSCHM) di Kampung Sri Ketumbit Kerdau dekat sini semalam.
Majlis itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman.
Yang turut hadir, Yang Dipertua Pertubuhan Silat Cekak Harimau Malaysia (PSCHM), Datuk Osman Nok.
Sementara itu, Norol Azali berkata, kerajaan negeri bersetuju mendokumentasikan perguruan silat Pahang daripada pelbagai aliran yang bertapak di negeri ini.
“Jawatankuasa khas yang diketuai Pesaka Pahang menemubual guru yang mewakili pelbagai aliran silat dan mencadangkan mereka diberikan gelaran ‘Pendekar’ sebagai pengiktirafan,” katanya.










