KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menyambut baik pengumuman kerajaan terhadap penetapan harga runcit produk petroleum yang dilaksanakan secara mingguan mulai esok.
Presidennya, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, pengumuman yang dibuat oleh kerajaan sebentar tadi telah sedikit sebanyak dapat membantu memberi sedikit nafas kepada pengusaha stesen minyak untuk meneruskan perniagaan mereka.
“Kami mewakili semua pengusaha-pengusaha stesen minyak seluruh Malaysia ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan khususnya perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad kerana berjumpa dengan kami serta mendengar keluhan kami.
“Sebelum ini, perniagaan stesen minyak sedang menghadapi pelbagai cabaran khususnya dari segi kenaikan kos operasi yang menyebabkan ramai antara kami terpaksa gulung tikar, pengumuman yang dibuat telah sedikit sebanyak membantu memberi sedikit nafas kepada kami,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Namun begitu, banyak lagi cabaran terutamanya mengenai perubahan harga mingguan ini yang akan menyebabkan kerugian dan ketidaktentuan margin jualan pengusaha-pengusaha stesen minyak ini.
“Harga minyak mingguan masih elemen yang menjadi kerumitan industri. Kami berharap dapat terus berbincang tentang mekanisma harga mingguan ini supaya pembekalan minyak kepada rakyat tidak terjejas.
“Oleh itu, kami masih berharap pihak kerajaan akan terus membuka pintu dan sentiasa mengadakan rundingan dengan pihak PDAM agar masalah ini dapat kita perhalusi dan seterusnya mendapatkan formula yang terbaik bagi semua pihak iaitu termasuk pengguna, pengusaha, pihak kerajaan dan syarikat minyak,” ujarnya.
Katanya, pihak PDAM juga berharap, semua pengusaha akan terus bersabar dengan keputusan penurunan harga yang bakal memberi impak kepada semua.
“Tapi, kami yakin ini adalah keputusan yang baik daripada kerajaan, memandangkan keadaan ekonomi semasa. Kita berharap pengumunan ini akan memberikan keseimbangan kepada semua,” jelasnya. – K! ONLINE










