KUALA LUMPUR 23 JAN. – PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) mencatat jualan tertinggi dalam sejarah syarikat itu iaitu sebanyak 227,243 buah kenderaan pada 2018 dipacu oleh model paling laris, Myvi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, sebanyak 82,122 buah Myvi telah didaftarkan daripada 117,844 tempahan yang diterima.
Menurut beliau, model-model lain seperti Axia, Bezza dan Alza kekal nombor satu dalam segmen masing-masing dengan jualan sebanyak 70,821 buah, 49,911 buah dan 24,389 buah kenderaan.
“Sejak pelancarannya pada November 2017, lebih 91,500 buah Myvi telah didaftarkan dan

kenderaan kompak ini dijangka terus menjadi pilihan rakyat Malaysia pada tahun ini,” katanya dalam majlis Jamuan Tahun Baharu Cina Perodua di sini hari ini.
Tambah Zainal Abidin, pihaknya menyasarkan peningkatan jualan sebanyak empat peratus kepada 231,000 buah kenderaan pada 2019 berbanding pencapaian tahun lalu.
Jelasnya, jualan tahun semasa akan disokong oleh permintaan yang tinggi terhadap Myvi serta pengenalan model kenderaan utiliti sukan (SUV), Aruz.
“Kami menerima tempahan Aruz sebanyak 5,700 buah sejak dibuka 3 Januari lalu. Jumlah ini sangat menggalakkan memandangkan sasaran jualan bulanan adalah sebanyak 2,500 buah.
“Sasaran ini bukan sahaja mengukuhkan jenama kami tetapi turut membantu industri automotif tempatan yang dijangka berkembang sedikit pada 2019,” ujarnya.
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjangkakan peningkatan jumlah keseluruhan industri (TIV) kurang daripada satu peratus kepada 600,000 buah kenderaan berbanding 598,714 buah pada 2018.
Menurut MAA, perkembangan jualan tahun lalu disebabkan tempoh cuti cukai bermula Jun sehingga Ogos. Sekiranya tiada insentif baharu diperkenalkan pasaran dijangka kekal sama pada 2019.
Mengenai unjuran pengeluaran daripada Perodua Manufacturing Sdn. Bhd. dan Perodua Global Manufacturing Sdn. Bhd., Zainal Abidin berkata, pengeluaran akan dipertingkat sebanyak 10.5 peratus daripada 219,000 buah kenderaan pada 2018 kepada 242,000 buah pada 2019.
“Perodua turut memecahkan pelbagai rekod dalaman termasuk perkhidmatan selepas jualan dengan pengambilan servis sebanyak 2.17 juta manakala jualan alat ganti serta aksesori meningkat 11 peratus kepada RM320.8 juta.
“Perniagaan badan dan cat (B&P) dan kenderaan pramilik (POV) menunjukkan perkembangan menggalakkan. Perkhidmatan selepas jualan adalah aspek yang sangat penting kerana menyokong kami dalam pasaran yang berdaya saing ini,” katanya.
Perodua dijangka meningkatkan pembelian komponennya sebanyak 20 peratus daripada RM5 bilion pada 2018 kepada RM6 bilion pada tahun ini.











