KUALA LUMPUR – Pihak polis menafikan kononnya terdapat pergaduhan besar yang berlaku di Flat Sri Johor, Salak Selatan di sini malam tadi, seperti yang tular di media sosial kerana ia hanya melibatkan dua individu sahaja.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, situasi tersebut kelihatan seperti insiden pergaduhan besar disebabkan kehadiran anggota polis yang ramai di lokasi sebaik menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
“Tidak wujud pergaduhan besar seperti yang tular sejak malam tadi di media sosial khususnya WhatsApp. Ia juga bukanlah rusuhan atau pergaduhan antara kaum, sebaliknya hanya membabitkan dua individu sahaja.
“Anggota yang dikerahkan ke lokasi sememangnya ramai kerana saya yang mengarahkan supaya mereka ke lokasi bagi mengawal kejadian, tiada apa-apa kejadian serius yang berlaku. Jadi, orang ramai tidak harus mudah percaya dengan apa yang tular di media sosial,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian 7.45 malam semalam itu, video tersebut tular di media sosial dan pihak polis menegaskan ia berpunca daripada pergaduhan antara dua lelaki yang tidak membabitkan sebarang sentimen perkauman.
Jelas, Mohamed Mokhsein, pihaknya telah menahan dua individu terbabit yang kemudian diberi rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai tangkapan terbaru, beliau berkata, seorang lagi lelaki ditahan ketika membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan, di sini malam tadi, sejurus kejadian berlaku.
“Lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengenai kes ini. Ketiga-tiga mereka juga telah dikenakan perintah reman selama tiga hari, bermula hari ini sehingga Sabtu ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata,” ujarnya. – K! ONLINE










