PASIR PUTEH 15 Jan. – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Cherang Ruku dekat sini, mengambil langkah menggali parit bagi mengalirkan air keluar dari kawasan sekolah berkenaan.
Yang Dipertua PIBG sekolah itu, Zanawi Isa berkata, ketiadaan longkang menyebabkan sekolah itu sering digenangi air dalam tempoh lama terutama ketika hujan lebat.
Beliau berkata, keadaan tersebut turut menyebabkan dua bilik prasekolah turut digenangi air dalam tempoh agak lama sepanjang Disember dan awal Januari.
“Menjadi kelaziman guru dan pekerja sekolah terpaksa menyimpan peralatan di tempat selamat dan murid terpaksa belajar di bilik lain termasuk surau sekolah.
“Hari ini PIBG mengambil tindakan membantu dengan menggali parit sendiri bagi membolehkan air yang menggenangi persekitaran bangunan mengalir ke kawasan padang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Zanawi berkata, sepanjang Januari ini, guru pendidikan jasmani terpaksa memilih kawasan lain kerana keadaan padang yang turut digenangi air.
Menurutnya, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) turut diminta membantu untuk membina longkang konkrit sekitar pagar sekolah rendah dan menengah bagi mengelakkan banjir kilat berlaku dengan kerap di kawasan tersebut.
“Longkang yang berfungsi menyelesaikan masalah itu masih boleh dilakukan kerana projek jalan raya Tok Sabuh-Cherang Ruku masih dalam proses pembinaan,” katanya.
Katanya, amat tidak sesuai sekiranya hanya parit digali di luar pagar sekolah kerana ia tidak berfungsi mengalirkan air ke parit besar sebelum ke sungai.










