Peralihan kuasa selepas negara stabil - Utusan Malaysia

Peralihan kuasa selepas negara stabil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Jan.- Peralihan kuasa Perdana Menteri daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka hanya akan berlaku selepas keadaan ekonomi dan politik negara dilihat berada dalam keadaan stabil.

Penganalisis politik yang juga pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, beliau yakin Dr. Mahathir tidak akan memegang jawatan nombor satu itu sehingga sepenggal sebaliknya akan menyerahkan kepada Anwar seperti dijanjikan.


“Kita kena rujuk semula kenyataan konsisten Dr. Mahathir sebelum ini sejak kembali menjadi Perdana Menteri iaitu Anwar akan menjadi Perdana Menteri selepasnya, itu jelas cuma tempoh masa yang menjadi spekulasi banyak pihak.


“Saya tidak pernah mendengar Dr. Mahathir menyebut bahawa beliau mahu memegang jawatan Perdana Menteri selama satu penggal. Anwar juga saya yakin menyedari bahawa Tun juga tidak pernah berjanji untuk menyerahkan jawatan dalam tempoh dua tahun,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.


Beliau mengulas kenyataan Dr. Mahathir semalam bahawa Anwar tidak pernah menyatakan hasrat kepadanya untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri dengan lebih awal.


Jelas Ahli Parlimen Langkawi itu lagi, beliau berharap mempunyai tempoh masa lebih daripada dua tahun untuk menyusun pentadbiran kerajaan.


Sementara itu, jelas Dr. Nik Ahmad Kamal, Dr. Mahathir pastinya akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar selepas semua kemelut yang melanda Pakatan Harapan (PH) diselesaikan dan janji-janji pilihan raya ditunaikan.

“Tun Dr. Mahathir tidak boleh menyerahkan tugasnya ketika banyak lagi isu-isu yang masih belum dapat diselesaikan. Namun jika semuanya dapat selesai dalam tempoh dua tahun, kenapa tidak jawatan Perdana Menteri itu diserahkan kepada Anwar,” katanya.-UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN