Perakam suara kokpit pesawat Lion Air ditemui - Utusan Malaysia

Perakam suara kokpit pesawat Lion Air ditemui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA – Kotak hitam kedua berupa perakam suara kokpit (CVR) milik pesawat Lion Air yang terhempas pada Oktober tahun lalu sudah ditemui, kata pihak berkuasa Indonesia semalam.

Pesawat jenis Boeing 737-MAX itu hilang daripada radar kira-kira 13 minit selepas berlepas dari Jakarta dan menjunam ke Laut Jawa sejurus setelah juruterbang meminta kebenaran untuk berpatah balik.

Semua 189 penumpang dan kru penerbangan JT610 itu terkorban dalam nahas tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Timbalan Ketua Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional Indonesia, Haryo Satmiko memberitahu agensi berita AFP bahawa alat CVR itu ditemui pagi semalam.

Alat berwarna oren terang itu ditemui kira-kira 10 meter dari perakam data iaitu kotak hitam pertama pesawat tersebut, kata Haryo yang mengetuai pasukan mencari dan menyelamat di bawah Tentera Laut Indonesia.

Pasukan penyiasat sebelum ini menemui kotak hitam pertama Boeing 737-MAX itu yang merekodkan maklumat kelajuan, altitud dan arah penerbangan pada 29 Oktober lalu.

Pasukan penyiasat mendapati pesawat malang itu sepatutnya tidak dibenarkan melakukan penerbangan pada hari kejadian tetapi tidak menyatakan secara khusus punca kemalangan.

Laporan muktamad nahas itu berkemungkinan besar tidak dapat diserahkan sehingga lewat tahun ini. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN