PULAU PINANG 23 Jan. – Seorang penolong pegawai tadbir sebuah universiti awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes salah guna kuasa melibatkan kerja-kerja pembekalan dan perkhidmatan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM140,000.
Menurut sumber, wanita berusia 42 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari di Pejabat SPRM negeri ketika hadir untuk memberi keterangan.
“Siasatan awal mendapati suspek telah menggunakan kedudukannya dengan mencadangkan syarikat milik sendiri bagi kerja-kerja pembekalan dan perkhidmatan di pusat sukan dan rekreasi universiti tersebut bagi tempoh 2013 sehingga 2017,” katanya di sini hari ini.
Tambah sumber, difahamkan SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek di mahkamah esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun enggan mengulas lanjut. – UTUSAN ONLINE









