Penjawat awam terlibat rasuah tidak akan terlepas - MB - Utusan Malaysia

Penjawat awam terlibat rasuah tidak akan terlepas – MB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN 15 Jan. – Kerajaan negeri hari ini menegaskan tidak akan melindungi mana-mana kakitangannya yang di dapati terlibat dalam gejala rasuah.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan pihak berkenaan khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menangani masalah itu.

Beliau memberitahu, langkah itu bertepatan dengan dasar serta pendirian tegas kerajaan selain inisiatif bagi memastikan urusan pentadbiran sentiasa bersih, integriti dan tidak sekali-kali dicemari dengan gejala negatif seumpama itu.

“Kita sangat terbuka untuk bekerjasama dengan SPRM berkaitan hal ini (rasuah) bagi memastikan pertadbiran kita bersih dan berintegriti,” katanya.

Dr. Ahmad Samsuri menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Datuk Seri Tuan Guru di Pusat Latihan Darul Iman (DITC) di Teluk Kalong dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif DITC, Shuhaimi Embong.

Menteri Besar diminta mengulas mengenai seorang pegawai daerah di negeri ini yang direman enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu berjumlah RM500,000 tahun lalu.

Beliau turut menafikan rombakan besar-besaran membabitkan 95 pegawai tadbir di negeri ini yang berkuatkuasa esok mempunyai kaitan dengan kes berkaitan rasuah.

“Ia tiada kaitan langsung dengan kes tersebut, ini pertukaran biasa malah akan ada lagi pertukaran melibatkan pegawai tadbir (di Terengganu) Mei dan juga Jun nanti,” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×