Peniaga Aceh dipenjara 6 bulan jual rokok seludup  - Utusan Malaysia

Peniaga Aceh dipenjara 6 bulan jual rokok seludup 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Padah menimpa kepada seorang peniaga warga Indonesia apabila dijatuhi penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 876 batang rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM90.24, awal Januari lalu.

Majistret Roslizi Sulaiman menjatuhkan hukuman itu sebaik tertuduh, Sabri Ikhsan, 27, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah. 

Tertuduh yang berasal dari Aceh, Indonesia itu diperintah menjalani hukuman penjara itu dari tarikh ditangkap pada 4 Januari lalu.

Roslizi turut memerintahkan Sabri membayar duti import berjumlah RM175.20 kepada Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Jika gagal membayar, berdepan tambahan penjara dua hari lagi. 

Pembayaran denda duti import itu adalah kali pertama dikenakan terhadap pesalah di Selangor selepas pindaan akta Kastam dilakukan tahun ini. 

Mengikut pertuduhan, Sabri didakwa memiliki rokok seludup masing-masing 400 batang rokok jenama U2, 140 batang rokok Luffman dan 336 batang rokok Gudang Garam.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 11.02 pagi di premis perniagaan Junaidah Maju Entreprise, Kampung Delek Kanan, dekat sini, 4 Januari lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-dua sekali mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Kosmo! difahamkan Sabri telah menjual rokok tersebut sejak sebulan lalu di premis miliknya sendiri itu. 

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, Mohd. Nafizi Ramli manakala tertuduh diwakili peguam Rajvinder Singh. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×