Pengusaha stesen minyak disyaki seleweng diesel ditahan - Utusan Malaysia

Pengusaha stesen minyak disyaki seleweng diesel ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL 13 Jan. – Sebuah stesen minyak diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri kerana disyaki menjual minyak diesel kepada pihak yang tidak mempunyai kebenaran di pekan Mahsan, Bahau di sini semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, Zubir Hamsa berkata, dalam serbuan itu, dua buah kenderaan pacuan empat roda telah disita bersama minyak diesel yang dianggarkan berjumlah 450 liter dengan nilai rampasan RM107,575.


“Operasi yang disertai oleh tujuh pegawai penguat kuasa dijalankan hasil risikan selama dua minggu ke atas premis yang terbabit. 


“Pemeriksaan menunjukkan pengusaha stesen minyak berkenaan aktif dalam kegiatan menjual bahan petroleum menggunakan tong dram,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 


Menurutnya, pengusaha stesen tersebut dan dua pemandu kenderaan pacuan empat roda yang berusia antara 40 hingga 50 tahun telah ditahan dan kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. 


Tambahnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) stesen tersebut juga telah disita bagi siasatan lanjut.


“Kita akan mengambil tindakan tegas bagi menghalang aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi melalui penguatkuasaan Akta Kawalan Bekalan 1961,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN