KLANG 20 Jan. – Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya terbabas ke dalam parit dalam satu kejadian di selekoh di Jalan Kebun Nenas, Bandar Putera di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa, Yap Kian Soon, 38, merupakan pengurus operasi di sebuah bank maut di lokasi akibat lemas selepas tersepit dalam kereta jenis kenderaan utiliti sukan (SUV).
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar berkata, ketika kejadian mangsa yang memandu SUV jenis Hyundai Tucson baru bertemu rakannya dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Sentosa di sini.
Bagaimanapun katanya, setibanya di selekoh jalan, SUV dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terjunam ke dalam parit dan terbalik.
“Akibat kejadian, mangsa tersepit di bahagian pemandu keretanya. Kita terpaksa memanggil bomba untuk mengeluarkan mangsa, namun lelaki ini disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk dibedah siasat. Kita tidak menolak kejadian berpunca kerana mangsa mengantuk semasa memandu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE









