Penguatkuasaan fokus MPK tangani denggi - Utusan Malaysia

Penguatkuasaan fokus MPK tangani denggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG 20 Jan.- Peningkatan mendadak kes demam denggi di daerah ini menjadi fokus utama Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk menanganinya.

Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, jumlah terkini 1,266 kes untuk minggu kedua tahun ini berbanding 540 kes bagi tempoh sama pada 2018 menunjukkan ia pada paras membimbangkan.

“MPK akan menggandakan lagi operasi bersama melibatkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) selain penguatkuasaan di premis yang telah dikenalpasti.

“Sebanyak 110 lot tanah kosong dan 170 rumah kosong merupakan salah satu penyumbang kepada kes denggi dan 181 notis telah dikeluarkan pada 2018,” katanya selepas pertemuan dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di sini, baru-baru ini.

Beliau menambah, pihaknya juga memperhebatkan lagi operasi penguatkuasaan di premis-premis yang dikenalpasti dan pemiliknya akan berdepan tindakan tegas jika didapati lokasi mereka menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Walau bagaimanapun jelasnya, usaha itu tidak akan mampu dilaksanakan jika masyarakat tidak memainkan peranan membasmi aedes.

“Kempen 10 minit membersihkan rumah dilancarkan sejak April tahun lalu dilihat tidak mendapat sambutan penduduk kerana ada kalangan mereka masih menyimpan barangan lama sehingga menjadi punca takungan air.

“Malah, botol plastik serta polisterin juga dibuang merata tempat, sekali gus boleh mengundang pembiakan nyamuk aedes,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, MPK amat berharap tahun ini penduduk dapat bekerjasama mengamalkan amalan 10 minit itu supaya usaha membendung wabak denggi di Klang tercapai. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×