Penganjuran kiteboard pertama di Malaysia - Utusan Malaysia

Penganjuran kiteboard pertama di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI 24 Jan. – Kiteboard merupakan sukan air yang semakin dikenali di negara ini walaupun masih belum po­pular seperti di kebanyakan negara luar.

Sukan air itu merupakan antara yang semakin pantas berkembang sejak mula dijadikan sebagai satu acara dalam Sukan Olimpik Remaja 2018 yang berlangsung di Buenos Aires, Argentina.

Bagi merancakkan lagi akti­viti sukan itu di negara ini, Desaru Coast dipilih sebagai lokasi penganjuran Kiteboard Tour Asia (KTA) Asia-Pacific Hydrofoil Series 2018 pusingan ke­dua pada 14 hingga 16 Disember lalu.

Kejohanan yang pertama kali diadakan di negara ini itu dianjurkan berikutan kejayaan pusi­ngan kelayakan Olimpik re­maja yang berlangsung awal tahun lalu dan telah menarik penyertaan peserta dari dalam dan luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Desaru Development Holdings One Sdn. Bhd., Roslina Arbak berkata, pihaknya berbangga kerana Desaru menjadi tum­puan aktiviti sukan antarabangsa itu.

“Penganjuran kejohanan ini selari dengan usaha kami untuk menambah pengalaman kehidupan persekitaran di pantai Desaru yang merangkumi aktiviti sukan, gaya hidup dan hiburan,” katanya.

Selain sukan kiteboard yang kini semakin meningkat dalam populariti di negara ini, pantai Desaru sememangnya merupakan lokasi utama bagi penga­njuran sukan air dan pantai.

Kejohanan tiga hari itu di­pertandingkan dalam tiga kate­go­ri iaitu Lelaki, Wanita dan Master.

Sementara itu, Pengasas KTA dan Pengarah Acara, Willy Ker berkata, kerjasama antara pihaknya dengan Desaru Coast dalam penganjuran kejohanan tersebut membuka lebih banyak lokasi penganjuran acara sukan itu di peringkat antarabangsa.

“Secara tidak langsung, penganjuran ini juga membuka peluang kepada lebih ramai pemain sukan ini dari Asia untuk mengetengahkan bakat mereka,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×