Pengalaman berharga bantu BN - Pas Pahang - Utusan Malaysia

Pengalaman berharga bantu BN – Pas Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 27 Jan. – Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands mencatatkan sejarah baharu dalam politik negara sekali gus menjadi pengalaman berharga kepada ahli Pas apabila bekerja membantu calon Barisan Nasional (BN) yang sekian lama bertembung di medan politik.

Pesuruhjaya Pas negeri, Rosli Abdul Jabar berkata, apabila kepentingan Islam diletakkan di hadapan, ahli dan petugas Pas sanggup menghadapi segala bentuk kesukaran serta cabaran bagi menghadapi PRK itu.

“Saya mengharapkan agar kerjasama yang diikat demi kebaikan Islam dan negara ini dapat diikat dengan lebih erat tidak mengira apa juga parti politik, bukan sahaja BN malah parti-parti lain termasuk Pakatan Harapan.

” Usaha ini agar Islam dan negara dapat terpelihara sebaik-baiknya di samping tidak mendiskriminasikan kaum dan penganut agama lain yang juga mempunyai hak di negara bertuah ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, BN mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands apabila calonnya, Ramli Mohd. Nor mendapat 12,038 undi menewaskan calon Pakatan Harapan, M. Manogaran yang memperoleh 8,800 undi.

BN menang dengan majoriti besar iaitu 3,238 undi yang mana jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding majoriti 597 undi yang dimenangi calon BN, Datuk C. Sivarraajh dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei lalu.

Rosli berkata, beliau melihat bukan sahaja pengundi Melayu Islam malah kaum lain seperti orang asal, Cina dan India membantu jentera dan memberikan undi kepada calon BN.

Sehubungan itu katanya, budaya politik matang dan sejahtera mestilah dijadikan sebagai syiar dan amalan kerana ia adalah pendekatan yang akan mengikat rasa persaudaraan, mempercayai dan menghormati antara satu sama lain.

“Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua petugas Pas, semoga Allah SWT membalas susah, payah, jerih dan segala bentuk kesukaran yang dihadapi dengan kebaikan di dunia dan akhirat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×