ALOR SETAR – Penduduk di negeri ini terutama di Langkawi dinasihatkan berjaga-jaga dan menjauhi kawasan pantai ekoran angin kencang serta ombak tinggi yang diramalkan melanda kawasan tersebut mulai pagi ini hingga awal pagi esok susulan daripada tempias ribut tropika Pabuk.
Pegawai Bahagian Operasi dan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Kapten Saifuddin Abdullah berkata, keadaan setakat ini terkawal dengan beberapa tindakan diambil oleh APM sebagai langkah berjaga-jaga.
“Bendera merah di dua pantai tumpuan pelancong di Langkawi iaitu Pantai Chenang dan Pantai Tengah telah dinaikkan pada pada pukul 11 pagi tadi selepas kita mendapati berlaku angin kuat dan ombak bergelora.
“Semua aktiviti air seperti jet ski dan paragliding dihentikan buat sementara waktu. Pelancong yang mandi di kawasan agak dalam juga dinasihatkan supaya naik dan hanya dibenarkan berada di kawasan berhampiran pantai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, keadaan cuaca hujan, mendung serta angin kencang dan ombak tinggi dijangka berlaku sehingga pukul 2 pagi esok.
“Pemantauan akan terus dilakukan sepanjang masa terutama pada tengah malam ini dan awal pagi esok di kawasan berhampiran pantai dan sepanjang pantai,” ujarnya.
Selain Langkawi, katanya, pemantauan juga dilakukan di kawasan pesisiran pantai di Kuala Kedah, Yan dan Tanjung Dawai dekat sini. – K! ONLINE










