KUALA LUMPUR 24 Jan. – Perbincangan dari hati ke hati hari ini berjaya membuahkan hasil apabila tiga pemanah compound negara membuat pusingan-U dengan membatalkan hasrat meninggalkan skuad kebangsaan.
Juwaidi Marzuki, Lee Kin Lip dan Zulfadhil Ruslan mengambil keputusan itu selepas bersemuka dan mendapat penjelasan daripada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menerusi pertemuan lebih sejam.
“Kami berpuas hati dengan perbincangan hari ini dan sudah jelas dengan apa yang dirancang dan dikehendaki MSN.
“Jadi selepas ini kami bertiga akan kembali menumpukan perhatian kepada persiapan Sukan SEA 2019 dan melupakan apa yang telah berlaku,” kata Juwaidi selepas pertemuan di Bukit Jalil hari ini.
Sebelum ini pemenang pingat gangsa acara compound lelaki berpasukan Sukan Asia 2018 tersebut menerusi media sosial mengugut untuk menarik diri daripada skuad negara.
Dia tidak berpuas hati dengan elaun RM500 sebulan yang agak rendah diterima sebagai atlet separa masa di bawah program baharu MSN.
Begitupun hari ini Juwaidi menafikan isu elaun sebagai punca sebaliknya ia berkait tentang keperluan peribadi mereka yang mempunyai komitmen lain.
“Hari ini kami sepakat mengikut kehendak MSN supaya berlatih secara sepenuh masa di samping separa masa di negeri masing-masing,” tegasnya.
Dia juga akur dengan syarat yang ditetapkan untuk membolehkan mereka menerima elaun bulanan RM3,000 (Juwaidi, Kin Lip) dan RM2,000 (Zulfadhil) mengikut sistem tiering yang ditetapkan.
Sementara itu Shapawi ketika ditemui mengesahkan isu jurulatih dan latihan sepenuh masa sebenarnya menjadi punca ketiga-tiga pemanah itu mahu menarik diri.
“Kita anggap isu ini sudah selesai selepas ketiga-tiga mereka bersetuju secara berkala datang berlatih sepenuh masa di Bukit Jalil bersama pemanah negara lain sebulan sekali.
“Isu jurulatih juga telah berjaya diselesaikan,” katanya.










