KOTA BHARU 8 Jan. – Sambutan Tahun Baharu Cina sebagaimana perayaan lain di negara ini memberi peluang kepada seluruh masyarakat berbilang bangsa meraikannya bersama keluarga dan rakan taulan.
Bagi masyarakat Cina di Pantai Barat seperti Perak dan Kuala Lumpur, hidangan mewah lauk dan sayur ‘Fortune Pot’ yang bernilai ribuan ringgit menjadi menu utama semasa makan besar.
Justeru, buat julung kalinya, Hotel Royal Guest House (RGH) di sini menawarkan hidangan ‘Fortune Pot’ atau ‘Peng Chai’ halal supaya dapat dinikmati lebih ramai khususnya masyarakat di Pantai Timur.
Ketua Chef RGH, Lim Hock Guan berkata, menu baharu itu adalah gabungan pelbagai jenis makanan laut, abalon, ayam serta itik panggang dan sayuran yang dihidang bersama sup pekat.
“Secara simboliknya, hidangan sempena ‘makan besar’ ini adalah gabungan semua bahan yang dipilih dalam satu bekas dan dimakan bersama di hari perayaan untuk mengeratkan hubungan serta menambah kemakmuran.
“Bagi kaum Cina, ‘Fortune Pot’ adalah hidangan yang mahal malah ada pihak menjualnya dengan RM20,000 ringgit sebekas. Harganya mungkin tidak masuk akal, tetapi ada nilai tersendiri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif RGH, Raja Rusmin Raja Mahmood berkata, ‘Fortune Pot’ yang baru diperkenalkan di hotelnya sempena musim Tahun Baru Cina dijual dengan harga berpatutan bagi memberi peluang kepada semua golongan merasainya.
Katanya, hidangan yang menggabungkan 15 bahan berkualiti tinggi dan mewah ini ditawar pada harga RM438 sebekas yang boleh dinikmati lebih 10 orang.
Beliau berkata, promosi berlangsung selama sebulan bermula hari ini hingga 8 Februari hadapan. – UTUSAN ONLINE










