PORT DICKSON – Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Kilometer 21.7 Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH) arah Port Dickson dekat sini pagi ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa, I.Simon, 38, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda maut di lokasi kejadian.
“Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi. Mangsa yang beralamat di Bandar sunggala Port Dickson dipercayai hilang kawalan dan terbabas semasa menunggang motosikal itu.
“Kemalangan tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Aidi Sham berkata, mayat mangsa di bawa ke Hospital Port Dickson bagi tujuan bedah siasat dan kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu tampil bagi membantu siasatan pihak polis.
Mereka yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Syakinah Ahmad di talian 06-647 222 atau 018-9024570. – K! ONLINE










