ALOR SETAR 9 Jan. – Seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah di negeri ini, direman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan wang bantuan yang dianggarkan bernilai RM15,000.
Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Sungai Petani, Balkhis Abdul Halim membenarkan lelaki tersebut direman bermula hari ini sehingga 14 Januari ini.
Menurut sumber, lelaki yang berusia 38 tahun tersebut ditahan di JKM daerah pada pukul 3 petang semalam.
“Siasatan awal mendapati individu itu telah disyaki menyeleweng wang bantuan berjumlah RM15,000 yang sepatutnya diserahkan kepada penerima bagi tujuan membaiki rumah dan pembekalan mesin jahit antara 2015 hingga 2017,” katanya.
Ujar sumber itu, lelaki berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut, namun tidak mengulas lanjut.










