Pantai Batu Buruk kembali meriah - Utusan Malaysia

Pantai Batu Buruk kembali meriah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 7 Jan. – Cuaca baik sejak awal pagi mendorong orang ramai kembali berkunjung ke pantai Batu Buruk di sini selepas hampir beberapa hari pantai peranginan itu lengang berikutan tempias ribut tropika Pabuk.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati orang ramai bertumpu ke lokasi itu mulai pukul 3 petang, sebagaimana kelaziman setiap kali hujung minggu bagi melakukan aktiviti riadah bersama keluarga masing-masing, malah aktiviti perniagaan juga beroperasi seperti biasa dengan gerai jualan kembali dibuka.

Rata-rata pengunjung dilihat mematuhi larangan yang ditetapkan pihak berkuasa dengan tidak melakukan sebarang aktiviti mandi-manda, sukan air mahupun berada di pinggir pantai sebaliknya cuma bersantai di samping bermain layang-layang.

Salah seorang anggota Pasukan Tindakan Cemas Malaysia (PTCM), Koperal Muhammad Saifful Amin Zahariman berkata, walaupun keadaan beransur pulih daripada fenomena cuaca itu tetapi pihaknya masih menggerakkan pengawasan berterusan selama 24 jam berbanding lapan jam kebiasaan sebelum ini, dengan menggunakan aset seperti kuda, kenderaan lasak all-terrain vehicle (ATV) dan kenderaan pacuan empat roda, Pajero.

“Sebelum ini, keadaan di sini lengang sebab angin kuat dan ombak tinggi tetapi berbeza dengan keadaan sekarang.

“Setakat ini saya tengok orang ramai patuh kepada arahan ditetapkan dan tidak duduk melepasi bendera merah yang dipasang. Cuma satu kes sahaja yang mana sekumpulan remaja lelaki berada di pesisiran pantai, bagaimanapun selepas dinasihatkan anggota PTCM mereka segera naik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Dalam pada itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Left. Kol. (PA) Che Adam Abd. Rahman berkata, secara keseluruhan lima bendera merah dikibarkan di pantai Batu Buruk sebagai panduan kepada orang ramai.

Terdahulu, katanya, notis amaran cuaca waspada peringkat kuning yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi bagi negeri ini dan Kelantan pada Isnin lalu berikutan pembentukan siklon tropika di perairan Laut China Selatan, ditamatkan kelmarin bersama-sama amaran angin kencang dan laut bergelora.

Katanya, tiada angin kencang dikesan di samping ketinggian ombak di luar pantai yang direkodkan adalah antara 1.15 meter dan dijangka kembali normal dalam tempoh 24 jam.

“Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi, fenomena cuaca ini dijangka pulih sepenuhnya, bagaimanapun orang ramai dinasihatkan agar tidak lagi melakukan aktiviti rekreasi atau berada di pesisiran pantai bagi mengelak sebarang kesan terutama jika sesekali ombak membadai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN