SHAH ALAM 23 Jan. – Dua tahun sudah berlalu sejak kerajaan negeri Selangor menguatkuasakan caj 20 sen ke atas penggunaan beg plastik tetapi dasar tersebut yang dibuat bagi melestarikan alam sekitar dilihat tidak mencapai objektifnya.
Bukan itu saja, apa sudah jadi dengan hasil kutipan dan ke mana dibelanjakan juga menjadi tanda tanya banyak pihak kerana sehingga kini tiada sebarang program yang jelas dirangka daripada caj berkenaan.
Malah, orang ramai juga terus menggunakan beg plastik sekali gus memperlihatkan caj itu, yang kononnya bagi mendidik masyarakat agar mengurangkan penggunaan plastik dilihat tidak memberi sebarang kesan positif sebagaimana diharapkan.
Bagi Pengerusi 99 Kebajikan Insan Selangor, Muhd. Ali Zakariah, kerajaan negeri perlu lebih telus kerana ia melibatkan sejumlah besar kutipan hasil daripada wang rakyat walaupun niat asalnya adalah baik.
“Hal ini sudah saya bangkitkan semasa awal dasar caj 20 sen dikuatkuasakan pada 2017 tetapi banyak persoalan tidak dirungkaikan dengan sejelas-jelasnya oleh kerajaan tetapi demi bersikap adil, kita beri peluang.
“Sekarang sudah dua tahun dan sebagai pihak berwajib kerajaan negeri perlu menyemak perkara ini, apakah ia mencapai objektifnya? Saya lihat tidak kerana orang ramai masih menggunakan beg plastik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Muhd. Ali memberitahu, sepanjang dua tahun dilaksanakan, beliau melihat ia hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja iaitu para peniaga, sedangkan pengguna pula perlu mengeluarkan kos tambahan.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri perlu membuat penambahbaikan segera terhadap dasar berkenaan dengan bukan lagi berorientasi ‘denda’ tetapi meningkatkan kempen kesedaran dalam kalangan rakyat agar menolak terus penggunaan beg plastik.
“Untuk itu, perlulah disediakan alternatif seperti memperbanyakkan beg kertas kerana orang ramai sudah dua tahun ‘didenda’, jadi kerajaan perlu mengambil tanggungjawab ini dengan menggunakan hasil kutipan itu bagi menyediakan beg kertas,” katanya.










