BALIK PULAU – Seorang nelayan maut selepas terjatuh dari bumbung sebuah bangsal sampan di Kuala Sungai Pinang di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, mangsa, Lim Cheang Thiang, 49, disahkan meninggal dunia selepas tiba di Hospital Balik Pulau di sini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A.A. Anbalagan berkata, mangsa bersama abangnya dikatakan sedang memasang paip di bangsal berkenaan.
“Mangsa dikatakan telah memanjat bumbung bangsal yang setinggi kira-kira 10 kaki bagi memasang paip.
“Secara tiba-tiba bumbung tersebut pecah dan mangsa terjatuh lalu terkena palang kayu sebelum terhempas ke lantai simen,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Anbalagan berkata, abang mangsa berusia 68 tahun yang mendapati adiknya itu tidak sdarkan diri segara menghantarnya ke hospital, namun meninggal dunia akibat kecederaan parah. – K! ONLINE










