LIPIS 23 Jan. – Jika sebelum ini kehadiran Datuk Seri Najib Tun Razak semasa kempen pilihan raya kecil khususnya di Selangor dikatakan menjadi liabiliti kepada Barisan Nasional (BN), namun apa yang berlaku di Cameron Highlands adalah sebaliknya.
Kehadiran bekas Perdana Menteri itu bukan sahaja disambut baik malah kemunculannya dinanti-nantikan oleh para pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.
Jadi tidak hairan Najib dilihat kini menjadi senjata ampuh buat BN untuk menarik sokongan pengundi khususnya peneroka Felda dan masyarakat Orang Asli yang telah banyak menerima pelbagai bantuan semasa beliau menjadi Perdana Menteri.
Kini dalam saat-saat akhir kempen yang berbaki dua hari lagi ‘bantuan’ Najib sekali lagi dituntut dan beliau kembali turun berkempen hari ini.
Semasa berada di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai, Najib berkata, beliau membuat keputusan turun padang selepas mendapat permintaan daripada pemimpin-pemimpin setempat dan juga orang ramai.
Namun ketika ditanya mengenai auranya yang semakin meningkat beliau tidak dapat memberikan jawapan sebaliknya diminta bertanyakan kepada orang ramai.
Ramai berpendapat sambutan hangat yang diberikan kepada Najib adalah akibat manifestasi kesusahan hidup rakyat dan kegagalan Pakatan Harapan menunaikan janji.
Najib sendiri ketika berceramah di Kampung Lubok Kulit di sini menyatakan menerima banyak rungutan mengenai kesusahan rakyat pada masa ini.
Beliau turut berkongsi dua rangkap pantun yang diberikan oleh orang awam kepadanya.
Pahlawan Bugis gelaran diberi
Pergi Cameron memetik strawberi
Kejaguhan ‘bossku’ tidak terperi
Menentang pakatan kencing berdiri
Kalau hendak pergi memancing
Jangan lupa membawa umpan
Kalau tak rasa serik dikencing
Undilah Pakatan Harapan











